M Update, 28/03/2022 – Penganjuran acara seperti Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia penting sebagai platform untuk membantu negara menangani ancaman keselamatan secara lebih serius.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia mengambil kira keadaan rantau ASEAN ketika ini yang berdepan pelbagai ancaman serius yang belum pernah terjadi dalam sejarah.
Beliau berkata, DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 bukan hanya menarik penyertaan pegawai tentera berpangkat tinggi, tetapi turut membabitkan perjanjian dan urusan perniagaan serta organisasi dari dalam rantau ini dan seluruh dunia – semuanya di bawah satu bumbung.
Memandangkan negara-negara di seluruh dunia terus menumpukan usaha untuk pulih daripada kesan buruk akibat COVID-19, kita dalam perniagaan keselamatan mesti sentiasa berwaspada dalam menghadapi ancaman terhadap negara dan rantau kita.
“Ancaman tradisional dan bukan tradisional, dalam pelbagai corak dan bentuk, perlu ditangani dengan berkesan sebelum ia menjadi semakin parah sehingga menimbulkan bahaya serta membawa bencana kepada negara di seluruh dunia,” katanya ketika berucap sempena perasmian DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.
DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 bermula hari ini hingga 30 Mac akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Pameran hanya terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan, selain polis dan agensi penguatkuasaan, dengan acara tahun ini akan dihadiri lebih 1,000 peserta pempamer dari 60 negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata langkah-langkah mencukupi disediakan untuk memastikan DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 mematuhi semua protokol kesihatan ditetapkan. Walaupun ini adalah satu perkara yang wajar dipatuhi, namun yakinlah pameran ini akan mematuhi semua protokol dan garis panduan kesihatan yang lazim.
Memandangkan Malaysia hampir memasuki fasa peralihan ke endemik, kita mampu menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia kini terbuka untuk perniagaan,” katanya. – BH