M Update, 14/04/2022 – Astro Malaysia Holdings Bhd boleh mengambil tindakan undang-undang kepada vendor atau penjual kotak android yang memiliki kandungan cetak rompak, khususnya milik syarikat itu.
Penganalisis Maybank IB Research, Yin Shao Yang, berkata Astro boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 51B kerana ia adalah pemilik hak cipta asal kandungan berdasarkan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.
Beliau berkata, syarikat media itu juga boleh ‘menguji’ pembelian kotak android bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran hak ciptanya dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah yang disyaki.
“Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 membayangkan kepada kami bahawa ia berpotensi menangani masalah kandungan cetak rompak yang telah membelenggu Astro sejak enam tahun lalu.
“Akta ini jelas mengiktiraf penstriman teknologi sebagai jalan untuk melanggar hak cipta. Bacaan Seksyen 43AA membayangkan bahawa paltform e-dagang dan media sosial yang secara terbuka menjual peranti penstriman haram atau kotak android ini berkemungkinan bersalah kerana melanggar hak cipta.
Tinjauan YouGov February 2019 mendapati bahawa 87 peratus pemilik kotak android membelinya daripada platform e-dagang dan media sosial,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Astro sebelum ini dilaporkan mula mendekati platform media sosial dan e-dagang untuk menamatkan penjualan kotak android yang memiliki kandungan cetak rompak. Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei 2021 bahawa penjualan set kotak dengan kandungan cetak rompak adalah diharamkan.
Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Astro mengharapkan pengguna yang menamatkan langganan akaun untuk beralih ke kotak android, akan kembali menjadi pelanggannya.
Shao Yang bagaimanapun berkata, disebabkan akta itu baharu dan belum diuji di mahkamah, anggaran pendapatan dan harga sasaran (TP) bagi saham Astro adalah tidak berubah.
Beliau berkata, ia berdasarkan hasil langganan TV Astro yang meningkat satu hingga dua peratus selepas jatuh 30 peratus sepanjang enam tahun yang lalu.
Kami juga berpendapat operasi jualan mungkin kekal tidak stabil bukan hanya disebabkan kandungan cetak rompak kandungan, tetapi sentimen pengguna yang rapuh ketika ini. Ini kerana kuasa membeli semakin terhakis akibat kenaikan inflasi. Bagaimanapun, ia boleh menjadi titik perubahan yang sangat positif untuk Astro,” katanya. – BH