M Update, 21/04/2022 – Dua beradik termasuk bayi tujuh bulan maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, di sini, hari ini.
Pada kejadian 5 pagi itu, mangsa, Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 4, dan adik perempuannya, Nor Fahmia berusia tujuh bulan maut dipercayai sesak nafas.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika dua beradik berkenaan ditinggalkan di tingkat dua bangunan sementara ibu bapanya dipercayai sedang bersahur di tingkat bawah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika kejadian, dua beradik itu terperangkap di dalam sebuah bilik di rumah kedai berkenaan.
“Dua beradik itu berjaya dibawa keluar anggota bomba dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata pada tubuh badan mereka. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati, lokasi kebakaran adalah bangunan kedai makan tiga tingkat yang mana tingkat bawah adalah restoran tomyam, manakala tingkat dua dijadikan tempat tinggal pekerja dan tingkat ketiga kosong.
Katanya, kebakaran berlaku di tingkat dua yang dilengkapi dua bilik yang menjadi tempat tinggal pekerja kedai. Ketika kejadian, hanya dua kanak-kanak itu di tingkat dua, manakala ibu bapa dan pekerja lain berada di tingkat bawah, sedang bersahur.
Kedua-dua mangsa adalah anak kepada pemilik restoran berkenaan. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian mangsa,” katanya. – HM