M Update, 22/04/2022 – Mahkamah Majistret, di sini menjatuhi hukuman denda RM100 terhadap dua lelaki atas kesalahan bermain meriam karbaid, manakala seorang lagi turut didenda RM100 kerana merakam dan menularkan aktiviti itu di media sosial.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, Muhammad Nawar Md Shariff masing-masing berusia 28 tahun dan Abd Rahman Noorudin, 33 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadap mereka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Sharul Izzuan dan Muhammad Nawar bersama seorang remaja berusia 17 tahun didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip PVC bertujuan menembak mercun ke udara.
Sementara, Abd Rahman pula didakwa sengaja menularkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Rawa di hadapan Kedai Makan Pokok Nyok di sini pada 7 April lalu, kira-kira jam 11 malam.
Muhammad Sharul Izzuan dan Muhammad Nawar bersama seorang remaja didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya.
Sementara Abd Rahman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Catherine Joysce.
Semasa prosiding, Catherine memohon kepada mahkamah supaya memberikan denda minimum terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai termasuk seorang baharu sahaja menamatkan persekolahan.
Bagaimanapun, Syafiq Nasrullah meminta hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kerana ia adalah kes berkaitan kepentingan awam. Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM100 terhadap tiga tertuduh dan jika gagal bayar akan dipenjara selama sebulan.
Bagaimanapun tertuduh bawah umur dibenarkan diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga sebanyak RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak bagi sebutan semula kes pada 26 Mei depan.
Difahamkan, kesemua tertuduh membayar denda berkenaan sejurus prosiding selesai.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan sekumpulan lelaki yang bermain meriam karbaid di tepi jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan orang lain hingga klip video memaparkan perbuatan itu tular di media sosial.
Di dalam klip video berdurasi dua minit 20 saat itu mendapati kumpulan berkenaan menghalakan meriam buatan mereka ke jalan raya sebelum satu letupan kuat dihasilkan. – Harian Metro