M Update, 09/05/2022 – Pusat jagaan kanak-kanak (TASKA) diminta untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat walaupun negara berada pada fasa peralihan ke endemik bagi mengekang penularan jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Anisa Ahmad, berkata pihaknya percaya kelonggaran SOP yang menyebabkan pengabaian kebersihan menyumbang kepada peningkatan kes HFMD khususnya di TASKA.
“Ketika pandemik, kalau kita perasan tiada kes sebegini termasuk selesema di TASKA disebabkan SOP yang sangat ketat yang mana pihak TASKA dan ibu bapa sangat mengambil berat soal kebersihan. Tetapi kini sejak peralihan ke endemik dan SOP secara umumnya lebih longgar, kebersihan dan penjarakan fizikal turut diabaikan.
“Sepatutnya, TASKA perlu mengekalkan SOP yang sama seperti SOP COVID-19,” katanya kepada BH, di sini.
Kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga minggu endemik (ME) 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan , berkata sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu, berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021.
Pada masa sama, Anisa berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan tidak menghantar anak yang tidak sihat ke TASKA.
Selain itu, sepanjang musim perayaan ini, ibu bapa perlu mengelakkan anak mereka daripada dipeluk dan dicium oleh orang luar.
“Kini, apa yang dilihat, ibu bapa sudah mula menghantar anak mereka yang tidak sihat ke TASKA yang boleh menyebabkan penularan,” katanya. – BH