M Update, 27/05/2022 – Bukan sahaja beberapa penyakit berkaitan manusia seperti HFMD dan cacar monyet meletus ketika ini, virus yang menjangkiti kucing juga agak membimbangkan selepas perayaan Aidilfitri lalu.
Doktor Veterinar, Dr Azliza Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak laporan berkaitan virus parvo yang menjangkiti kucing selepas musim perayaan yang berisiko membawa maut terhadap haiwan peliharaan itu.
Beliau berkata, penyakit pasca raya itu berlaku selepas terdapat pemilik kucing yang mengurung haiwan itu dalam jangka masa lama untuk pulang ke kampung.
“Seperti semua sedia maklum, raya tahun ini agak terkejut. Jadi kebanyakan perancangan pemilik kucing untuk pulang ke kampung lari daripada pelan asal menyebabkan mereka tidak dapat membuat persiapan rapi terhadap anak bulus tersayang.
“Ada yang membawa pulang kucing ke kampung dalam keadaan terburu-buru. Dengan situasi jalan sesak dan berada lama dan kenderaan menyebabkan kucing menjadi tertekan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, antara faktor lain jangkitan virus berkenaan adalah terdapat pemilik yang melepaskan kucing ketika berada di kampung yang menambah risiko untuk dijangkiti kerana bergaul dengan kucing yang tidak divaksin.
“Ada juga beberapa kes pemilik mengadakan rumah terbuka menyebabkan kucing merayau keluar kerana takut dengan kehadiran ramai orang secara tiba-tiba. Ada juga kucing yang dipegang tetamu berbeza kerana kecomelannya,” katanya.
Dr Azliza berkata, dua kucing milik pelanggan klinik haiwannya mati selepas perayaan lalu akibat dijangkiti virus parvo dan pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat ujian virus itu selain mengambil sampel najis haiwan itu bagi mengelak kucing lain dijangkiti.
“Kami sangat berhati-hati sekarang kerana banyak kucing yang dihantar ke klinik menunjukkan simptom seperti cirit-birit, muntah, lemah, tiada selera makan dan ada juga kucing lain yang tidak dibawa ke klinik mati secara tiba-tiba,” katanya.
Menurutnya, pencegahan virus itu hanya melalui suntikan imunisasi yang teratur mengikut jadual yang ditetapkan doktor veterinar bagi meningkatkan sistem ketahanan badan terhadap virus. – Harian Metro