M Update, 30/08/2022 – Keputusan mengenai pemansuhan peraturan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup akan diteliti dan diputuskan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata MPN sudah meminta Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, melihat kepada keperluan untuk pemakaian pelitup muka sekiranya situasi COVID-19 beransur pulih.
“Dia (Dr Noor Azmi) mengatakan pihaknya akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci.
“Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia kena buat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini, hari ini.
Menurut laporan media, Singapura memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka bermula semalam, kecuali dalam pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan, memandangkan situasi penularan pandemik COVID-19 di republik itu semakin stabil.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau berpandangan pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik untuk memastikan diri seseorang itu tidak dijangkiti COVID-19.
Malah, katanya, amalan itu juga sudah menjadi kebiasaan kepada rakyat negara ini selepas dua tahun berhadapan situasi pandemik.
“Saya fikir sekarang ini pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan baharu rakyat Malaysia, bukan paksaan. Kalau sudah sampai masanya tidak perlu pakai (pelitup muka), rakyat boleh pakai kalau mahu rasa lebih selamat,” katanya.
Mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang dilancarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada Mei lalu, Muhyiddin berpandangan tempoh pemulihan selama empat tahun dicadangkan itu terlalu panjang.
Bekas perdana menteri itu mengesyorkan MOTAC untuk mempertingkatkan tindakan agresif kerana kegagalan memulihkan industri pelancongan dengan agresif akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara.
MOTAC kena lihat pada pendekatan agresif agar proses pemulihan dan kesannya dapat dirasakan dalam masa singkat dari empat tahun kepada tiga tahun. Proses pemulihan yang terlalu lama akan menjejaskan lagi sektor kecil industri pelancongan yang terkesan ketika pandemik COVID-19. – BERNAMA