M Update, 18/10/2022 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa prerogatif mengikut Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, secara bijaksana menzahirkan harapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi afidavit sokongan yang difailkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak semalam berkata, tempoh itu sebelum Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan depan.
Beliau berkata, perkara itu menunjukkan sifat keprihatinan dan cakna Yang di-Pertuan Agong dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat, walaupun bukan suatu keperluan mengikut Perkara 55(2) dan 40 Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian.
Katanya, kuasa baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat mengikut dua perkara itu suatu yang tidak boleh diadili dan tidak boleh dipertikai di mahkamah.
“Hal ini demikian kerana kuasa untuk membubarkan Parlimen suatu kuasa prerogatif baginda di bawah dua perkara terbabit.
“Ia yang mana boleh mengikut budi bicara membubarkan Parlimen tanpa perlu mendapatkan nasihat daripada Jemaah Menteri di bawah Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya sesungguhnya percaya isu berkenaan permintaan itu dibuat tanpa nasihat Jemaah Menteri bersifat akademik kerana baginda sudah memperkenan permintaan dan seterusnya membubarkan Parlimen.
“Proses mahkamah dalam undang-undang bukan bermaksud untuk ke arah tujuan berpolitik atau terselindung dan untuk alasan in sahaja, tindakan saman hendaklah dibatalkan,” katanya.
Pada 11 Oktober lalu, penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago, selaku plaintif menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan, susulan pembubaran Dewan Rakyat yang dibuat Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu.
Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).
Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.
Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya mengikut Perlembagaan atau undang-undang Persekutuan.
Ismail Sabri berkata, SPR mempunyai tugas keperlembagaan mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh 60 hari, selepas pembubaran Parlimen.
“Saya percaya kuasa defendan (SPR) di bawah Perkara 55(4) untuk mengadakan PRU-15, selepas pembubaran itu suatu perkara yang tidak boleh diadili.
“Di bawah Perkara 118, sebarang cabaran terhadap sesuatu pilihan raya hanya boleh dipersoal melalui petisyen pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menerusi afidavit sokongan difailkan tetuan terbabit pada hari sama berkata, pihaknya perlu memastikan penjalanan PRU-15 dapat berjalan dengan teratur dan lancar.
Ini selaras dengan Perkara 55(4) dan 113(1) Perlembagaan Persekutuan, Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan serta keseluruhan undang-undang berkaitan pilihan raya.
“Plaintif tidak dapat mengekalkan sebarang bentuk relif yang mempunyai kesan sama dengan injunksi atau perlaksanaan spesifik terhadap semua defendan.
“Defendan akan berhujah dengan lebih lanjut pada hari pendengaran permohonan defendan kelak,” katanya.- Berita Harian