Input your search keywords and press Enter.

Suami Tak Dayus Doktor Lelaki Sambut Kelahiran Anak

M Update, 08/11/2022 – “Haram apabila ada doktor perempuan tetapi nak juga doktor lelaki selak kain isteri.”

Demikian respons penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus mengenai isu berkaitan gelaran ‘dayus’ kepada si suami apabila membiarkan doktor lelaki menyambut kelahiran anak.

Baru-baru ini, tular di media sosial kelantangan pasangan penceramah bebas, Ustazah Siti Afifah dan Ustaz Zaidi Tohirin, yang menganggap hanya suami ‘dayus’ biarkan isteri mereka bersalin dengan bantuan doktor lelaki.

Menurut Ustaz Azhar, hukum haram dari segi perubatan boleh berubah sekiranya darurat.

“Dengar baik-baik. Hukum yang asal perempuan itu berubat dengan perempuan. Lelaki berubat dengan lelaki kerana masalah aurat. Sesama perempuan walaupun aurat, haram melihat tapi lebih berat jika berlainan jantina.

“Jadi dalam bab berubat, dia ada kadar-kadarnya. Bila masuk sempadan darruroh (darurat), apa yang haram diangkat hukumnya sekejap.

“Allah sebut dalam al-Quran, ‘Barangsiapa yang masuk pada situasi tidak boleh lagi membuat pilihan, bukan sengaja atau tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa,” katanya dalam sesi ceramah yang dimuat naik di laman YouTube rasminya.

Ustaz Azhar turut memberi satu gambaran yang sama dengan situasi bersalin itu agar mudah untuk difahami hukumnya.

“Asalnya, Allah haramkan kamu makan bangkai, darah dan babi. Tetapi di padang pasir kamu kelaparan, tak jumpa makanan tetapi jumpa bangkai. Ada pilihan lain tak? Tak ada.

“Keadaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh. Jadi nak beranak, isteri mesti beranak dengan doktor perempuan, tetapi jika tidak ada doktor perempuan hanya lelaki dan ia berkait dengan dua nyawa iaitu ibu dan anak dalam kandungan jadi ambil doktor lelaki maka tidak berdosa,” jelasnya.

Mengulas kepada gelaran ‘dayus’ yang dilabelkan kepada si suami, Uztaz Azhar memaklumkan tiada hukum berdosa dijatuhkan kepada tindakan darurat itu.

“Apa pulak kata dayus? Tak haram. Yang haram bila ada doktor perempuan tetapi nak juga doktor lelaki yang selak kain isteri. Faham tak,” soalnya kepada penonton.

Pada masa sama, Ustaz Azhar turut mengingatkan bukan semua golongan mampu membiayai kos bersalin di hospital swasta yang mencecah hampir RM8,000 selain boleh membuat permintaan untuk menentukan doktor yang bertugas.

“Orang yang ada duit, pergi dekat doktor perempuan di swasta. Dia bolehlah (bayar), sekali beranak sampai RM7,000 hingga RM8,000.

“Kalau yang cukup-cukup makan, nak cari mana duit itu? Itu yang pergi hospital kerajaan. Nasib baik dapat doktor perempuan, kalau tak lelaki dan harus kerana tidak ada pilihan,” jelasnya.

Sumber: KOSMO! ONLINE