Input your search keywords and press Enter.

Impian Kerja Di London Berakhir Jadi Gelandangan

DUA beradik berkenaan (kiri). KEADAAN mereka yang terpaksa merempat di London. FOTO Ihsan Mich

M Update, 10/11/2022 – “Ujian yang paling perit yang kami tidak dapat dilupakan adalah terpaksa mengutip sisa makanan ditinggalkan orang ramai bagi mengisi perut di kota London,” kata Mohamad Araz Abdullah, 23.

Mohamad Araz berkata, dia tidak sangka niatnya untuk bekerja di London demi mengubah nasib keluarga akhirnya mengundang musibah bagi dirinya mahupun abangnya, Mohamad Aiman, 30.

Menurutnya, dia teruja untuk bekerja di London selepas mengikuti paparan video dan gambar seorang lelaki di TikTok. Katanya, dia dan abangnya bertindak menghubungi nombor telefon yang dikongsi oleh salah seorang lelaki di ruangan maklum balas akaun TikTok lelaki berkenaan.

“Kami menghubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ejen pekerjaan di London dan dia juga sanggup bertemu kami di Kuantan, Pahang, bagi membincangkan prosedur ke London.

“Kami dijanjikan pekerjaan, visa, tempat tinggal, wang poket dan tiket penerbangan dua hala selain lelaki berkenaan juga meminta bayaran keseluruhan RM10,000 bagi menampung kesemua kos,” katanya. Difahamkan, dua beradik itu berasal dari Kelantan, namun keluarga mereka kini bekerja dan menetap di Kuantan.

Mohamad Araz berkata, lelaki berkenaan yang berusia 30-an juga menunjukkan gambar beberapa individu yang berjaya dihantar ke London untuk bekerja sebagai pekerja am di situ.

Katanya, selepas berbincang dengan ahli keluarga, dia dan abangnya mendapatkan bantuan ibu mereka berusia 54 tahun yang juga pengusaha gerai makan di Kuantan bagi membiaya kos keseluruhan seperti dinyatakan lelaki berkenaan dengan menggunakan wang simpanan. Katanya, lelaki berkenaan juga menyatakan ada wakilnya akan menyambut ketibaan mereka di London.

“Bagaimanapun semua adalah janji kosong sehingga kami terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan selama empat hari di London sebelum diselamatkan seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai Mich yang berasal dari Johor Bahru.

“Kami hanya memiliki RM3, kami bernasib baik apabila ada yang sanggup menawarkan kos pengangkutan percuma bagi kami keluar dari kawasan lapangan terbang.

“Mulai 28 hingga 31 Oktober kami tinggal di kaki lima bangunan, ambil makanan yang disedekahkan di gereja, tidur dalam kesejukan kerana suhu di sini adalah antara 14 hingga 19 darjah Celsius, mengutip sisa makanan ditinggalkan selain terpaksa meminta wang daripada beberapa individu bagi meneruskan kehidupan.

“Pada hari ketiga, kami bertemu dengan seorang hamba Allah yang memberi cadangan kepada kami untuk ke Bayswater, London kerana menyatakan di sana berpeluang bertemu ramai penduduk dari Malaysia. Kami berjalan kaki hampir dua jam pada hari keempat untuk sampai ke Bayswater dan di situ kami bertemu Mich yang menjadi penyelamat kami,” katanya.

Mohamad Araz berkata, dia dan abangnya sebak apabila akhirnya dapat bertemu dengan rakyat Malaysia yang mampu memahami masalah yang menimpa mereka. Menurutnya, malah Mich juga menawarkan tempat tinggal sementara, makanan serta menghubungi keluarga mereka bagi berkongsi apa yang berlaku.

“Saya mahupun abang tidak bersekolah tinggi dan kami memasang harapan bekerja di sini untuk membayar balik wang yang dipinjam dari ibu selain mengubah nasib keluarga. Abang sudah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata, malah kami juga menyara bapa yang berusia 70-an.

“Kedua ibu bapa kami juga tidak sihat dan memiliki beberapa komplikasi kesihatan dan ketika membuat panggilan video, kami cuba menjelaskan keadaan kami di sini dan usaha bagi mendapatkan pekerjaan,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Sementara itu, Mich berkata, dia mendapati tiket penerbangan pulang ke Malaysia yang dibekalkan oleh ‘ejen’ berkenaan adalah palsu. Menurutnya, ketika bertemu dengan dua beradik berkenaan, mereka menangis meminta pertolongan.

“Seorang daripada mereka sudah fikir untuk membunuh diri kerana terlalu tertekan gara-gara diperdaya serta hidup merempat. Mich dalam usaha bagi mendapatkan pekerjaan bagi mereka atas permintaan dua lelaki itu serta bantuan majikan.

Sepanjang menjadi tukang masak restoran di sini, Mich tidak pernah terdengar terdapat ejen pekerjaan yang boleh mencarikan pekerjaan di sini. Diharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan janji manis individu atau sindiket tertentu,” katanya ketika dihubungi. – Harian Metro