M update, 06/10/2023 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diterima menghadap Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di istana presiden di Abu Dhabi.
Beliau dalam rangka lawatan kerja selama dua hari bermula Khamis ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala serta meneroka peluang untuk menjalin kerjasama selanjutnya yang boleh mempercepat agenda pembangunan lestari Malaysia dan UAE.
Mereka turut mengkaji kerjasama sedia ada serta membincangkan cara untuk membina hubungan ini terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui serta keterjaminan makanan yang memenuhi visi kedua-dua negara ke arah masa depan yang mampan dan makmur.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mempromosi kerjasama ke arah mewujudkan perkongsian ekonomi yang komprehensif di antara Malaysia dan UAE dalam masa terdekat selain perkembangan terkini di peringkat serantau dan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai topik yang mempunyai kepentingan bersama.
Selain itu, Anwar turut menghadiri persidangan meja bulat bersama kapten-kapten industri di UAE.
Program hari kedua pada Jumaat menyaksikan Perdana Menteri akan melawat Bandaraya Masdar yang terkenal sebagai bandar lestari terancang pertama di dunia sekali gus menggariskan komitmen Malaysia ke arah pembangunan yang lestari dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.
Perdana Menteri juga akan melawat Universiti Kecerdasan Buatan Mohamed bin Zayed (MBZUAI) sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed.
Lawatan itu diakhiri dengan ‘Sesi Bersama Rakyat Malaysia’ dan beliau akan bertemu rakyat Malaysia yang menetap di UAE.