M Update, 31/01/2024 – Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim & Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Hari ini, menjadi detik bersejarah bagi Malaysia serta seluruh rakyat apabila tampuk pemerintahan negara memasuki era baharu di bawah naungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.
Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019. Penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong ini menonjolkan keunikan pentadbiran negara menerusi prinsip Raja Berperlembagaan diamalkan sejak 1957.
Amalan dan tradisi diraja ini menjadikan Malaysia satu-satunya negara mengamalkan penggiliran bagi memilih Ketua Utama Negara yang dipilih dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja memerintah sembilan negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.