M Update, 04/03/2024 – Keghairahan golongan wanita mengambil jalan pintas untuk menurunkan berat badan boleh mendatangkan padah dan mengalami komplikasi kesihatan tidak dijangka termasuk terpaksa bergantung hidup dengan dialisis buah pinggang.
Perkara itu dikongsikan pakar dietitik dan penceramah nutrisi, Jazeera Julaili di platform media sosial X yang mendedahkan kisah pesakitnya yang menginginkan hasil yang cepat itu, sebaliknya mengalami pelbagai masalah kesihatan teruk pada usia 30-an.
Pesakitnya mula mengambil produk pelangsing sejak dua tahun lalu sehingga berjaya menghilangkan berat sekitar 10 hingga 20 kilogram (KG). Namun sehinggalah tahun ini, pesakit merasakan badannya lemah dan dia pergi membuat pemeriksaan kesihatan.
Pesakitnya itu melakukan ujian darah bagi mengetahui fungsi buah pinggang iaitu ujian Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) dan mendapati organ itu hanya berfungsi 40 peratus, tetapi enggan mempercayai hasil ujian itu
Bermula sejak itu, kesihatan pesakitnya menjadi tidak menentu, dengan sakit dan sembuh bersilih ganti sehingga dia dikejarkan ke unit kecemasan selepas tidak sedarkan diri.
Apabila keputusan darahnya diperoleh, kadar eGFR semakin merosot dan tinggal tiga (peratus) dan jumlah kreatinin dalam darah pula direkodkan sebanyak 1,700.
Komplikasi kesihatan yang merosot dalam tempoh singkat itu disebabkan penggunaan produk penurunan berat badan dan keadaan itu menyebabkan pesakit mungkin memerlukan sokongan dialisis yang kerap demi meneruskan hayatnya.
Orang ramai menghindar daripada mencuba produk penurunan berat badan yang menjanjikan hasil pantas. Jadikan kiah ini sebagai pengajaran. Jangan terpedaya dengan apa jua produk pelangsing atau minuman detox. Ia berisiko menjejaskan buah pinggang satu masa nanti.
Sumber : BH