M Update, 07/03/2024 – Bermula hari ini, penduduk di sekitar Penampang dan Putatan akan mengalami gangguan air berikutan pengurangan bekalan sebanyak 2 juta liter sehari (JLS) selama 10 hari.
Pengurangan bekalan itu berpunca daripada kerja penggantian penapis di Loji Rawatan Air (LRA) Moyog di Penampang. Masalah ini dijangka pulih sepenuhnya pada 16 Mac 2024.
Antara lokasi disenaraikan JANS yang akan terjejas ialah pusat bandar raya Kota Kinabalu, Kepayan, Tanjung Aru, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sembulan, Karamunsing, Signal Hill, Likas, Tanjung Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang dan Bukit Padang bagi daerah Kota Kinabalu.
Di Penampang, antara lokasi yang akan terjejas ialah Kobusak, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Jalan Penampang Baru, Jalan Penampang – Papar Lama, Jalan Papar Baru, Jalan Pintas, Donggongon, Jalan Panglima Banting, Country Heights Apartments, Jalan Bundusan dan Beverly Hills Apartments.
Bagi daerah Putatan pula, lokasi yang dijangka terjejas akibat pengurangan bekalan air itu ialah sekitar pekan Putatan dan Petagas, Kampung Ketiau serta kawasan yang berhampiran.