M Update, 18/03/2024 – Kini angka kematian di Gaza akibat serangan genosid Israel sejak 7 Oktober tahun lalu sudah melebihi 31,000 nyawa dengan 70% daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak. Wilayah yang dijolok sebagai penjara terbuka terbesar di dunia sudah berubah kepada padang jarak padang tekukur.
Gencatan senjata masih menjadi bayang-bayang yang tidak pasti, apatah lagi sebuah negara merdeka yang dahulu disebut sebagai penyelesaian dua negara tetapi impian itu sudah berkecai dengan runtuhan rumah kediaman, sekolah, hospital, masjid dan gereja akibat pengeboman tentera Zionis.
Namun, apa yang pasti suara tentangan dan kecaman terhadap keganasan luar batas kemanusiaan Israel serta pembelaan nasib penduduk Gaza dan rakyat Palestin tidak boleh berhenti sama ada daripada warganet di media sosial, selebriti John Cusack, Mark Ruffalo dan Susan Sarandon hinggalah pemimpin tidak kira negara Islam atau bukan Islam. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin terkedepan dalam hal ini bukan sahaja di platform seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), bahkan dalam misi ke negara asing seperti dilakukannya dalam lawatan rasminya ke Jerman, minggu lalu.
PM kita tidak mengambil sikap ‘sembunyi-sembunyi puyuh’ atas nama diplomasi pada sidang akhbar bersama Canselor Olaf Scholz di Berlin itu apabila pemimpin Jerman terbabit menegaskan hak Israel mempertahankan diri dan hubungan istimewa dengan negara haram berkenaan. Sebaliknya, Perdana Menteri menempelak hipokrasi Barat yang menunjukkan sikap memilih bulu dan kontradiksi dengan laungan kemanusiaan selama ini dalam isu Gaza, sekali gus menolak naratif songsang kononnya masalah hanya bermula dari tarikh 7 Oktober tetapi sudah lebih enam dekad rakyat Palestin ditindas dan dizalimi.
Tidak hairanlah kenyataan tidak berlapik Perdana Menteri bukan sahaja mendapat perhatian media antarabangsa seperti Al Jazeera, TRT World dan South China Morning Post atau pengamal media contohnya siarawan Amerika-British, Mehdi Hasan serta wartawan Perancis Arnaud Betrand, bahkan disokong ramai individu berpengaruh, bekas bintang ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams dan penyanyi terkenal Sweden berketurunan Lubnan, Maher Zain.
Meskipun komitmen Anwar dan Malaysia terhadap hak serta nasib Palestin bukan rahsia, ketegasan itu ditunjukkan di hadapan gergasi ekonomi Eropah masih dicengkam ‘rasa bersalah’ terhadap keganasan Nazi hingga gagal memperlihatkan empati kepada nasib rakyat Palestin yang jauh lebih lama ditindas Israel berbanding apa dialami orang Yahudi dahulu.
Pada masa sama, semua entiti sama ada negara mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kemanusiaan perlu meningkatkan usaha menghantar bantuan ke Gaza yang sangat diperlukan ketika ini apabila bukan sahaja diancam serangan ganas, bahkan bencana kebuluran buatan manusia.
Sumber : BH