M Update, 25/04/2024 – Sayu dan pilu, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan ahli keluarga dan waris yang mengiringi perjalanan terakhir mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak di beberapa lokasi pengebumian di seluruh negara malam tadi.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis pengebumian lapan daripada 10 jenazah mangsa nahas berkenaan, yang dijalankan mengikut istiadat pengebumian tradisi tentera laut dengan dihadiri ribuan ahli keluarga, kenamaan serta sanak saudara yang hadir memberi penghormatan buat kali terakhir.
Proses bedah siasat terhadap 10 mangsa berkenaan yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak selesai pada 2.20 petang dengan jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh untuk solat jenazah.
Lapan jenazah yang beragama Islam telah selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan di Kampung halaman masing-masing manakala, jasad mendiang Leftenan T Sivasutan, 31, dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan hari ini.
Sementara itu, jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, 26, yang diterbangkan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak pada 11.54 malam dan akan dibawa ke Serian untuk disemadikan.