M Update, 28/05/2024 – Peraturan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) asing di sempadan darat Malaysia-Singapura dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Okt ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang memandu kenderaan asing tanpa VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333).
Mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan kompaun atau didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan seperti ketetapan Seksyen 119(2) di bawah Akta 333.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana kenderaan asing yang tidak mempunyai VEP untuk masuk ke Malaysia.
“(Penguatkuasaan VEP) membolehkan kita mengesan kenderaan asing yang masuk dan keluar dari Malaysia serta jika ada saman (mereka) perlu selesaikan sebelum mereka keluar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Loke berkata sejak April 2019, Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan pendaftaran VEP kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar dan Bangunan Sultan Abu Bakar di Johor.
“Sebenarnya (pendaftaran) VEP telah dilaksana sejak 2019 tetapi kita tidak kuatkuasakan, sistem sudah ada dan pendaftaran telah dimulakan.
“Berdasarkan rekod semasa, hanya terdapat sekitar 70,000 kenderaan pendaftaran Singapura yang berdaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan yang telah berdaftar namun masih belum melengkapkan proses memasang serta mengaktifkan tag VEP masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, Loke meminta pemilik kenderaan asing menggunakan tempoh masa yang ada untuk memperbaharu VEP yang akan tamat tempoh atau melengkapkan pendaftaran bagi mendapatkan permit.
“MOT berharap agar pemilik kenderaan asing segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag Radio Frequency Identification (RFID) VEP untuk mengelakkan sebarang kesulitan semasa masuk dan keluar dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata proses pendaftaran VEP kini telah dipermudah dengan tag RFID VEP itu akan dihantar kepada pemilik kenderaan asing di alamat masing-masing.
“Tag RFID VEP dihantar ke alamat dan mereka (pemilik kenderaan asing) boleh pasang sendiri,” katanya sambil menambah harga RFID VEP ialah RM10 untuk tempoh lima tahun. – Bernama