Input your search keywords and press Enter.

COVID: Selangor Perlu Percepat Perolehan Vaksin Untuk Landaikan Keluk Kes Positif

M Update, 02/02/2021 – Mutakhir ini Selangor mencuri tumpuan negara apabila ‘menjuarai’ carta kes harian baharu COVID-19 dengan bilangan kes positif dalam jumlah empat angka setiap hari.

Sehingga kini, negeri yang mempunyai kepadatan 6.7 juta penduduk dengan kira-kira sejuta pekerja asing itu merekodkan hampir 70,000 jumlah kumulatif kes positif COVID-19 dan 156 kematian setakat 1 Feb, yang kebanyakannya disumbang oleh kluster tempat kerja serta kilang.

Berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Selangor, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah bagi melandaikan semula keluk pandemik itu antaranya melaksanakan program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) bagi menghalang penularan virus itu di kilang-kilang seluruh negeri selain menambah 50,000 lagi ujian saringan bagi mengenal pasti individu positif.

Malah, kerajaan negeri turut mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan supaya menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja atau tidak bekerjasama untuk pengesanan kontak rapat.

Pakar-pakar kesihatan menyifatkan beberapa inisiatif kerajaan negeri seperti POIS itu sebagai sangat proaktif, namun pendekatan bersifat jangka panjang juga perlu disegerakan terutamanya mempercepatkan perolehan vaksin.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Prof Madya Dr Zaliha Ismail berkata cadangan kerajaan negeri membeli sendiri tiga hingga lima juta dos vaksin bagi rakyat negeri itu adalah usaha jangka masa panjang yang dilihat perlu disegerakan bagi melandaikan keluk jangkitan COVID-19.

Walaupun vaksin berkenaan belum terbukti mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti, namun ia sekurang-kurangnya mampu membendung pandemik itu daripada terus menjadi serius, katanya yang berkhidmat di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Buloh.

“Ini kerana pesakit perlu mengambil masa 21 hari untuk melengkapkan dua dos suntikan. Kajian terhadap suntikan vaksin masih lagi kurang jelas sama ada ia mampu untuk mencegah keseriusan penyakit atau mendapat jangkitan. Kita mungkin masih boleh dijangkiti,” katanya.

Turut senada dengan Dr Zaliha adalah pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Yahya Mat Arip yang menggesa kerajaan negeri supaya segera memperoleh vaksin khususnya bagi pekerja asing dengan kos ditanggung oleh majikan masing-masing.

Ia sekurang-kurangnya boleh mengurangkan kerisauan rakyat dan pekerja asing untuk bekerja dalam komuniti memandangkan kebanyakan kes positif disumbang oleh golongan dalam sektor perkilangan, katanya.

Menyentuh mengenai POIS, Dr Yahya berkata usaha itu merupakan langkah proaktif dilakukan kerajaan negeri malah program sama seperti dilaksanakan di Singapura sebelum ini di tempat-tempat yang dikenal pasti berkemungkinan wujudnya kluster baharu. 

“Itu menjadi sebab kenapa Singapura mempunyai kes harian yang tinggi sebelum ini, dengan saringan ini, mereka yang dikesan positif tetapi tidak bergejala dan boleh menjangkiti orang lain akan diasing atau dikuarantin,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka strategi baharu untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang sudah setahun melanda negara.

Menyifatkan langkah yang dilaksanakan kini agak ‘longgar’ kerana negara tidak lagi boleh melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya seperti tahun lepas, beliau berkata strategi baharu perlu diwujudkan dengan melibatkan pakar-pakar kesihatan dalam negara agar proses sumbang saran daripada pelbagai aspek dapat dijalankan.

“Panggil mereka ini untuk duduk semeja, teliti kembali data yang ada dan rangka strategi baharu bagi menurunkan angka kes positif COVID-19,” katanya