Input your search keywords and press Enter.

Polis Laksana Operasi Hormat Undang-Undang Bermula Hari Ini

Foto: Facebook JSPT KL

M Update, 04/06/2024 – Polis Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya akan kembali melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) bermula hari ini hingga 15 Jun.

Sebelum ini, Op HUU dijalankan dua fasa dengan Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 sehingga 29 September 2023.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa menerusi satu kenyataan berkata OP HUU 2024 akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.

Foto: JSPT KL

Kekuatan penugasan pada setiap hari operasi kali ini membabitkan lebih 200 pegawai dan anggota dari jabatan serta daerah Kontinjen Kuala Lumpur.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan pengguna jalan raya serta menjaga imej Kuala Lumpur sebagai pusat bandar raya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999/9777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.