Input your search keywords and press Enter.

Subsidi Diesel: KPDN Keluarkan Notis Pihak Naikkan Harga Perkhidmatan

M Update, 12/06/2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengeluarkan notis kepada mana-mana pihak yang menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian mengambil perhatian serius terhadap beberapa kenyataan pihak industri berkaitan harga perkhidmatan yang akan dinaikkan.

“Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, berdasarkan kenyataan viral di media sosial, KPDN akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek iaitu sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran barangan binaan.

“Bagi sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya sejak dari dahulu tidak layak menggunakan diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan Isnin lalu, KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang.

“Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini,” katanya.

Tambah Armizan, kementerian sedang melaksanakan Ops Kesan 2.0 yang telah bermula Sabtu.

Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui platform-platform yang disediakan akan dilaksanakan berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. – Sinar Harian