Input your search keywords and press Enter.

Sindiket Menyamar ‘Ejen Insurans’ Bunuh Pencarum Untuk Dapat Pampasan

M Update, 25/06/2024 – Kegiatan satu sindiket ‘ejen insurans’ yang menggunakan taktik kejam membunuh pencarum bagi menuntut pampasan insurans nyawa yang bernilai RM500,000 melibatkan kejadian di Kulai, bulan lalu terbongkar.

Siasatan polis mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan merancang pembunuhan dengan kaedah seolah-olah mangsa meninggal dunia akibat terlibat kemalangan jalan raya bagi membolehkan tuntutan insurans dibuat.

Mereka memang mencari individu yang dipilih secara rawak tanpa pengetahuan mangsa dan kebiasaannya sasaran adalah orang yang sebatang kara.

“Kemudian sindiket ini akan mencarum insurans nyawa atas nama mangsa tanpa pengetahuannya dan suspek akan meletakkan nama orang kenalan suspek sebagai pewaris polisi insurans tersebut sebagai penerima pampasan.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, ejen insurans tersebut juga akan memalsukan tandatangan mangsa semasa urusan permohonan polisi insurans dan suspek akan tunggu sehingga polisi insurans diluluskan.

Setelah proses dokumentasi dan polisi insurans mangsa diluluskan oleh syarikat insurans, sindiket kemudian membuat perancangan untuk membunuh pencarum dengan kaedah seolah-olah mangsa meninggal dunia akibat kemalangan.

Dalam kejadian pada jam 4.40 pagi di Kulai pada 6 Mei lalu itu, beliau memberitahu, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 telah dihimpit dan dilanggar dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Senai-Seelong. Selepas dilanggar mangsa berusia 38 tahun itu terjatuh dan masih hidup menyebabkan empat suspek tersebut memukulnya di lokasi kemalangan.

Mangsa yang ketika itu nyawa-nyawa ikan telah dilanggar lori jenis Isuzu yang kebetulan melalui jalan itu menyebabkannya mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Kata Kumar, pada mulanya insiden itu dianggap kes kemalangan maut biasa tetapi laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan lain pada tubuh mangsa selain kesan pelanggaran kenderaan.

Ujarnya, hasil siasatan lanjut membongkar kegiatan licik sindiket itu sebelum polis menahan lapan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, semakan mendapati empat daripada yang ditahan mempunyai rekod lampau jenayah selain merampas satu dokumen polisi insurans atas nama mangsa serta tiga kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.

“Setelah mangsa meninggal dunia, suspek membuat permohonan tuntutan insurans melalui ejen yang juga ahli sindiket. Walaubagaimanapun, tuntutan insurans itu tidak sempat diproses kerana modus operandi sindiket telah dibongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala empat individu yang ditahan telah dituduh di Mahkamah Majistret Kulai pada 19 Jun lepas dan empat lagi diberi bon jaminan. – Sinar Harian