M Update, 11/07/2024 – Seorang petani direman selama enam hari bermula hari ini berhubung kes dua kanak-kanak termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini, Ahad lepas.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad bagi siasatan bersabit pengabaian terhadap kanak-kanak dan kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
Terdahulu, suspek berusia 33 tahun berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Sesyen Kulim kira-kira jam 8 pagi tadi.
Agak mustahil keropok yang dicampur racun itu dan digantung pada ketinggian lebih 1.2 meter dan diikat dengan ketat menggunakan tali tangsi itu mampu dicapai kanak-kanak kecil.
“Bagi saya, sama ada ia diambil orang yang lebih besar atau dijatuhkan oleh kera liar sebelum diambil dua kanak-kanak itu dan makan,” kata seorang pekebun yang dikenali sebagai Am, 35.
Pekebun itu mendakwa, dia dimaklumkan adik lelakinya yang berusia 34 tahun itu bahawa keropok yang bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan kera berdekatan hutan.
Dakwanya, tidak mungkin dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun itu dapat mengambil makanan ringan itu dengan mudah walaupun diikat pada pagar kebun. Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau kera ambil dan terjatuh di mana-mana.
“Adik juga beritahu dia meletakkan kira-kira lima bungkusan makanan ringan dicampur racun tikus pada pagar kebun dan tiga bungkusan dipercayai sudah diambil kera manakala satu hilang dan satu lagi masih berada di situ,” katanya ditemui di Kampung Banggol Berangan, di sini malam tadi.
Am mendakwa, dia juga adalah individu yang membawa arwah Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan bantuan rawatan segera pada hari kejadian.
“Ibu arwah yang berlari meminta tolong dan saya bersama ibu turut membantu sedaya upaya kami. Kami mendoakan yang terbaik buat ibu arwah,” katanya.
Sementara itu, katanya, adik lelakinya yang juga seorang pekebun dan membela lembu itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim, semalam untuk siasatan lanjut. – BuletinTV3