Input your search keywords and press Enter.

Lelaki Di Kejadian Tanah Jerlus Masjid India Memeluk Islam

Haridath (tengah) melafazkan dua kalimah syahadah pada Isnin lalu Foto: Ihsan ABIM

M Update, 29/08/2024 – Selepas menempuhi detik cemas hampir terjerlus ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Jumaat minggu lalu, seorang lelaki Hindu warga tempatan memeluk agama Islam tiga hari kemudiannya.

Perkara itu disahkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang membantu urusan lelaki dikenali sebagai Kalidass, 48, melafaz dua kalimah syahadah di pejabat Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara di sini, dengan nama Islamnya, Haridath.

“ABIM mengesahkan Haridath memeluk Islam, Isnin lalu. Beliau datang sendiri untuk bertemu kami dan menyatakan hasratnya itu. Beliau juga memaklumkan sudah lama berniat untuk memeluk Islam. Beliau datang dalam keadaan bersedia, malah hadir bersama-sama dua saksi yang merupakan kenalannya.

Cuma peristiwa hampir terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India itu menjadi ‘wake up call’ untuk beliau tidak bertangguh lagi,” katanya hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Masjid India pada Jumaat minggu lalu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang benam, manakala Kalidass yang sedang duduk di situ dilihat sempat menyelamatkan diri meskipun sebelah kakinya sudah terjerlus ketika itu.

Ahmad Fahmi berkata, Haridath turut kongsikan pengalaman menakutkan itu pada pertemuan mereka di pejabat IOA Centre.

“Haridath menceritakan detik dirinya hampir menjadi mangsa insiden itu, malah memberitahu bahawa beliau mengenali wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang berkenaan kerana sering datang melancong ke Malaysia,” katanya.

Malah ketika kejadian, beliau berkata, suami wanita warga India itu berjalan tidak jauh di belakang mangsa, cuma tiada kelihatan dalam rakaman CCTV yang tular.

“Mungkin asbab kejadian itu, beliau mendapat hidayah daripada Allah SWT untuk terbuka hati terus memeluk agama Islam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap semua pihak memberi ruang kepada saudara baharu itu untuk bertenang, sekali gus mendoakan dan menghormati privasi Haridath.

“ABIM menegaskan bahawa sesungguhnya, mempunyai agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia. Justeru, sudah semestinya tiada siapa pun yang boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama.

“Pada masa sama, kami mendoakan operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India dipermudahkan, dan turut menzahirkan perasaan simpati buat keluarga mangsa,” katanya. – BH