M Update, 29/08/2024 – Penyelam Ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa ditemukan tidak sedar berhampiran Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam selepas lebih sejam turun menyelam bersama seorang lagi rakan setugas ketika menjalankan operasi salvaj, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad berkata, anggota TLDM berusia 28 tahun itu turun menyelam pada 11.11 pagi di kawasan Perairan Tanjung Penyusop, Pengerang di sini, untuk melaksanakan tugas operasi di kapal milik TLDM berkenaan.
“Pada 12.29 tengah hari, hanya rakan mangsa berusia 24 tahun sahaja yang naik ke permukaan. Usaha mencari segera dilakukan dan berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedar berhampiran kapal karam.
“Mangsa berjaya dibawa naik ke permukaan dan usaha untuk menyelamat mangsa dilakukan di atas kapal oleh pegawai perubatan tetapi gagal,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru oleh ambulans tentera untuk tindakan prosedur siasatan.
Terdahulu, katanya, polis menerima maklumat mengenai kejadian lemas membabitkan seorang anggota TLDM itu pada 2.50 petang.
“Kes diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut,” jelasnya.
Arman San dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) itu dilaporkan meninggal dunia ketika operasi salvaj ke atas KD Pendekar yang dilaporkan tenggelam selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air, pada 25 Ogos lalu di kawasan Perairan Tanjung Penyusop di sini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan semalam berkata, Lembaga Siasatan Khas ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Jenazah mangsa difahamkan akan dikebumikan di kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.
KD Pendekar dilaporkan ditenggelami air sepenuhnya, namun usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan semua 39 kru sebelum ia tenggelam dan tiada kecederaan dilaporkan. – Harian Metro