M Update, 02/09/2024 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk meminda dan menambah peruntukan undang-undang bagi menangani isu hasutan perkauman.
Beliau berkata, adalah menjadi tugas kerajaan untuk menyelamatkan negara daripada hasutan kelompok kecil yang cuba mencetuskan keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.
“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian serta permusuhan antara satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar. Tugas kita ialah selamatkan negara Malaysia tercinta ini.
“Kalau tidak cukup segala kuasa dan kekuatan yang ada, kita pinda, tambah peruntukan undang-undang dan kita ambil tindakan supaya negara ini selamat dan ia dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 pada Jumaat lepas.
Perdana Menteri berkata demikian di hadapan kira-kira 7,000 tetamu daripada pelbagai agensi termasuk penjawat awam, warga pendidik, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan. – Sinar Harian