M Update, 04/09/2024 – Tiga doktor pakar tulang bersama 30 individu direman antara sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan kartel kes memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan jumlah RM2.1 juta.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret pada Rabu. Kesemua mereka yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kompleks Mahkamah Georgetown pada jam 9 pagi tadi.
Menurut sumber SPRM, selain tiga doktor tersebut, mereka yang direman adalah 19 pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga ‘runner’. Kata sumber lagi, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.
“Doktor yang terlibat merupakan doktor pakar tulang dari dua hospital kerajaan dan sebuah hospital swasta di Seberang Jaya. Kesemua doktor berkenaan berusia 36, 50 dan 57 tahun.
Menurutnya lagi, modus operandi kartel tersebut adalah dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).
“Pemohon yang mendapat wang tuntutan akan mengambil 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan dibahagikan kepada doktor, ejen dan ‘runner’. Selalunya doktor akan memperoleh imbuhan RM10,000 untuk satu tuntutan, namun bergantung kepada jumlah tuntutan,” katanya.
“Kesemua 33 orang yang direman ditangkap dalam operasi yang dijalankan bermula jam 5 pagi hingga 9 malam, Selasa. Mereka kemudiannya ditahan selepas diambil keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang,” katanya.
Sumber menambah, kartel berkenaan bergiat aktif sejak 2017 hingga tahun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Kemungkinan akan ada lagi tangkapan membabitkan kartel tuntutan Perkeso serta dokumen palsu dengan bantuan doktor yang bersekongkol,” katanya. – Sinar Harian