Input your search keywords and press Enter.

Bunuh Pelajar: Permohonan Ikat Jamin DSP Mohd Nazri Ditolak

M Update, 05/09/2024 – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan pegawai kanan polis untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh pelajar lelaki Tingkatan Lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di sini, pada Disember tahun lalu.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi mendapatkan jaminan dibenarkan.

Mohd Nazri, 45, dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan ke atas pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Selepas mengambil kira hujahan balas diberikan kedua-dua pihak, mahkamah dengan ini menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah sebelum ini, menetapkan 30 hari tempoh perbicaraan bagi tuduhan kes bunuh pelajar itu dengan perbicaraan akan bermula pada 4 November depan sehingga 17 Januari 2025.