Input your search keywords and press Enter.

Tasik Seksyen 7 Shah Alam Selamat, Tiada Lagi Buaya – Perhilitan

Kemunculan buaya di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam yang dirakam dron PERHILITAN

M Update, 11/09/2024 – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor mengesahkan Taman Tasik Seksyen 7 di sini selamat dan tiada buaya lain dikesan di kawasan rekreasi itu.

Pengarah PERHILITAN Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, berkata pemantauan rapi yang dijalankan antaranya melalui penggunaan dron ‘night vision’ dan penyuluhan di tasik tidak mengesan kehadiran reptilia lain selepas seekor buaya tembaga yang dikesan mendiami kawasan itu ditangkap pada 5 September lalu.

“Dua perangkap buaya yang dipasang sejak kehadiran reptilia itu dikesan pada 4 September lalu juga telah dikeluarkan Sabtu lalu sekali gus operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Adib berkata buaya dengan saiz kira-kira 1.68 meter dan disahkan tiada sebarang penyakit itu juga telah dilepaskan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil.

Beliau berkata tiada sebarang kertas siasatan dibuka namun pihaknya tidak menolak kemungkinan keberadaan buaya itu di kawasan rekreasi itu disebabkan sama ada sesat ketika banjir atau dibuang oleh pihak tertentu. – BERNAMA