M Update, 19/09/2024 – Pegawai imigresen di kaunter Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit ketika bertugas bagi memastikan sindiket ‘counter setting’ yang membawa masuk warga asing melalui ‘laluan kaunter khas’ tidak berulang.
Itu antara cadangan penambaikan yang perlu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengelakkan pegawai terbabit mudah dihubungi pihak ejen dan sindiket – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Sindiket ‘counter setting’ berlaku berpunca daripada kelemahan dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati ejen dan sindiket serta putaran tempat kerja yang tidak sistematik.
Selain itu, SPRM turut mencadangkan jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter selain perlu dibuat oleh pihak lain.