M Update, 20/09/2024 – Dua kenderaan Tentera Pengaman PBB Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) diserang oleh sekumpulan orang awam di Lubnan, kelmarin.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam kejadian jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia) tiga pegawai serta tujuh anggota kelainan pangkat berada dalam 2 kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11.
Mereka diserang ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.
Lebanon Armed Forces (LAF) tiba dilokasi kejadian dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi ‘loader’ bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah sebelum tiba pada jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).
Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota namun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan.
MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.
Wisma Putra sentiasa memantau situasi di Lubnan susulan kejadian letupan alat kelui yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara itu.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas atau terlibat dalam insiden itu namun semua mereka yang berada di sana dinasihatkan agar berhati-hati dan mengelak daripada mengunjungi bahagian selatan Lubnan.