M Update, 23/09/2024 – Kementerian Pendidikan Tinggi sedang mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk berkaitan undang-undang terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang langsung tidak membayar semula pinjaman mereka sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini seramai 430,000 peminjam yang masih gagal dikesan belum membayar balik pinjaman tersebut. Menurut beliau, perkara itu amat serius kerana melibatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM6 bilion.
Ini tidak merujuk kepada mereka yang sedang membayar ataupun yang lari sekejap, kurang bayar tetapi yang dimaksudkan ialah mereka yang langsung dan sejak hari pertama sampailah sekarang tak peduli untuk membayar.
Mahasiswa-mahasiswi diingatkan akan tanggungjawab moral iaitu wang PTPTN ini adalah bentuk wang pinjaman nanti apabila selepas habis belajar dan telah mendapat pekerjaan yang baik, laksanakanlah tanggungjawab moral dengan membayar balik. Ini kerana wang tersebut pula akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang.
Sementara itu Zambry berkata, perkara tersebut akan diteliti secara mendalam dan dibawa ke kabinet untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun katanya, PTPTN masih menggunakan pendekatan berhemah dalam memastikan peminjam membayar balik pinjaman tersebut.