Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Tak Tandatangan SSPA Tetap Dilayan Seperti Biasa

M Update, 22/10/2024 – Mereka yang berhasrat kekal dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) akan tetap dilayan seperti penjawat awam lain.

Kerajaan juga memberi jaminan bahawa tiada mana-mana penjawat awam akan menerima ‘layanan dua darjat’ sekiranya mereka enggan menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula semalam hingga 30 November ini untuk memilih sama ada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Pelaksanaan SSPA juga tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada mereka yang memilih opsyen SSPA sahaja.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata beliau yakin semua penjawat awam yang masih dalam perkhidmatan akan memilih untuk menandatangani SSPA. Jelasnya, SSPA memberi pulangan yang lebih baik kepada penjawat awam dari segi gaji serta laluan kerjaya lebih baik.

Mereka yang tidak berpindah kepada SSPA, tidak akan mendapat pelarasan gaji manakala pencen juga akan mengikut gaji ketika dalam SSM tetapi apabila memilih SSPA, dengan pelarasan gaji yang lebih baik, pencennya sudah pasti akan lebih baik. Sebab itulah beliau sangat percaya dan yakin keseluruhan penjawat awam akan menandatangani opsyen SSPA.