M Update, 10/12/2024 -Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemui meninggal dunia dengan mukanya dilitupi selimut ketika berada di rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu disedari pengasuh wanita berusia 27 tahun apabila mendapati bayi berkenaan, Harraz Noah Nazrul Nizam dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi mukanya.
Bapanya, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, berkata dia dihubungi isterinya, Ainol Izzah Raslan 25, kira-kira jam 11.40 pagi dalam keadaan menangis teresak-esak yang memaklumkan kejadian berkenaan.
Katanya, pengasuh wanita terbabit menghubungi isterinya dan memaklumkan mengenai keadaan anak tunggalnya itu yang tidak sedarkan diri.
Nazrul Nizam berkata sudah empat bulan dia menghantar anaknya ke rumah pengasuh terbabit dan sepanjang tempoh itu, tiada perkara buruk berlaku terhadap anaknya.
“Saya kenal pengasuh itu pun melalui media sosial dan dia sendiri pun mengaku ada pengalaman menjaga bayi sebelum ini tapi ternyata Allah lebih menyayangi anak saya,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.