M Update, 21/01/2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Davos pada Isnin untuk lawatan kerja selama tiga hari menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan menyertai kalangan pemimpin kerajaan dan perniagaan serta pegawai masyarakat sivil di bandar peranginan Pergunungan Alps ini untuk membincangkan usaha mengatasi cabaran utama dunia dan serantau melalui kerjasama global yang lebih baik.
Pesawat membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich pada jam 6.25 petang (Selasa, 1.25 pagi waktu Malaysia).
Anwar kemudiannya melalui perjalanan darat ke Davos-Klosters, kira-kira 175 kilometer dari lapangan terbang Zurich dan tiba di sini pada jam 9 malam (Selasa, 4 pagi waktu Malaysia).
Perdana Menteri yang baru sahaja menamatkan lawatan kerja selama dua hari ke Belgium akan berada di sini untuk mesyuarat WEF dari 20 hingga 24 Januari 2025, bersama kira-kira 3,000 peserta termasuk 60 ketua negara dan pembuat keputusan penting yang dijangka hadir.
Pada hari pertama beliau di Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, Perdana Menteri akan menyertai beberapa mesyuarat perniagaan dengan pemimpin syarikat multinasional meliputi daripada Astrazeneca, DP World, Medtronics, Nestle, Google Fortescue dan Total Energies.
Beliau kemudian dijadual menyertai ‘Dialog Strategi Negara’ dikendalikan oleh Tengku Zafrul yang dihadiri oleh pemimpin perniagaan daripada syarikat global untuk berkongsi keutamaan dan inisiatif strategik Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, serta meneroka peluang kerjasama untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi negara serta menghadiri mesyuarat “ASEAN Leaders for Just Energy Transition”.
Anwar juga akan mengadakan taklimat media bertajuk “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness”, menumpukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan peluang transformasi ekonomi digital.
Beliau juga akan menghadiri majlis makan malam pembukaan Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025 yang dihoskan oleh Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Klaus Schwab.
Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri akan menerima kunjungan hormat daripada Schwab sebelum menyertai sesi bertajuk “A Conversation with Anwar Ibrahim” dan seterusnya mesyuarat perniagaan dengan TotalEnergies serta pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari Libya, Abdul Hamid Dbeibah.
Anwar juga dijadual menyertai majlis makan tengah hari santai bagi kalangan pemimpin WEF dan kemudian menyampaikan ucap tama pada sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”.
Pada sesi pleno ASEAN itu beliau akan berkongsi keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ serta peranan penting ASEAN di peringkat rantau dalam membentuk landskap ekonomi global.
Beliau akan mengakhiri lawatan kerja ke WEF 2025 dengan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Netherlands, Dick Schoof, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, sekali gus menandakan berakhirnya lawatan kerja beliau ke empat negara. – Bernama