M Update, 03/02/2025 – Perbicaraan hari pertama kes mengabai kanak-kanak autism, membabitkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bermula hari ini.
Pihak timbalan pendakwa raya terlebih dahulu mengemukakan kes di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh, dengan memanggil saksi-saksi pendakwaan. Biasannya saksi-saksi awal akan dipanggil melibatkan pegawai siasatan, jurugambar dan pihak perubatan.
Sebelum ini, pendakwaan memaklumkan, seramai 15 saksi akan hadir memberi keterangan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf. Tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan ialah pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac ini.
Bagaimanapun, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu berkata, pihak pembelaan telah menerima senarai nama saksi, mencecah 32 individu.
Jumaat lalu, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira AbdulManaf, 30, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menggantung prosiding perbicaraan itu.
Pasangan suami isteri itu memfailkan notis usul bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen minggu lalu yang memerintahkan perbicaraan dimulakan selepas menolak penangguhan yang dipohon pasangan itu.
Pada 21 Januari lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dalam usaha mendapat perintah supaya mereka dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.