
M Update, 14/03/2025 – Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penyelesaian itu termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Beliau berkata penyelesaian turut melibatkan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
Perkara lain yang diselesaikan ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta penyediaan garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata Kerajaan MADANI juga telah menyelesaikan penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah serta cadangan pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.
Kerajaan MADANI juga katanya, berjaya menyelesaikan penukaran status pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri, selain tenaga buruh di Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak secara interim masing-masing telah dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta bermula pada tahun ini.
Sementara itu, perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63, kata Fadillah.