
M Update, 29/04/2025 – Seramai 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi, menandakan bermulanya musim haji bagi tahun ini.
Kumpulan pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.
Mereka terdiri daripada jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan Sepang di Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.
TH telah mula menghantar petugas haji ke Arab Saudi seawal 24 April lepas untuk membuat persediaan awal bagi menyambut ketibaan para tetamu Allah.
Lapan stesen berlepas negeri akan digunakan untuk urusan melapor diri jemaah iaitu di Sepang (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).
Jemaah dinasihatkan agar memanfaatkan peluang berharga sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) dengan mengikhlaskan niat, tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia serta memperbanyak amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.
Mohd Na’im berkata Saya ingin mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini untuk mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia.
Semua jemaah haji perlulah mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya. – Bernama