
M Update, 19/05/2025 – Sebanyak 25 jalan utama dan enam lebuh raya di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat bermula 23 hingga 26 Mei ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN (ASEAN Summit 2025).
Penutupan jalan membabitkan laluan masuk dan keluar ke lokasi-lokasi utama khususnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Istana Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Antara laluan utama yang terlibat adalah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Imbi, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Parlimen, Jalan Damansara dan Jalan Kuching.
Enam lebuhraya yang terlibat pula ialah Lebuhraya ELITE, NKVE, GUTHRIE, MEX, KL–Seremban dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Petugas Sumber Manusia Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan penutupan lencongan laluan itu dibuat bagi menjamin kelancaran perjalanan konvoi orang kenamaan (VVIP) dari Rantau Asia Tenggara yang bakal hadir ke Malaysia.
Menurutnya, beberapa persimpangan strategik sekitar KLCC seperti Jalan P Ramlee, Jalan Perak, Jalan Pinang dan Persiaran KLCC akan mengalami penutupan sementara sepanjang tempoh sidang berlangsung.
Katanya, penutupan juga melibatkan laluan utama ke lapangan terbang iaitu KLIA dan TUDM Subang termasuk Lingkaran Putrajaya dan Lebuh KLIA.
Sebagai persiapan awal, raptai pergerakan konvoi akan dilaksanakan pada 21 dan 22 Mei ini membabitkan kawalan laluan, lokasi persidangan, petugas pools serta pergerakan motoked,” katanya.
Yusri turut menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan laluan terbabit serta merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam. – Harian Metro