
M Update, 24/06/2025 – Pekerja yang menerima bayaran di bawah RM1,700 disarankan untuk segera membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran.
Jika aduan itu disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarahkan untuk membayar perbezaan gaji dan elaun-elaun yang terjejas, selaras dengan Seksyen 44 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan pada Isnin berkata, semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum yang telah ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di negara ini.
Kesuma tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran di bawah Akta 732,” katanya.
Menurut kenyataan Kesuma, di bawah Perintah Gaji Minimum 2024 (PGM 2024), majikan wajib memastikan pekerja menerima gaji minimum yang ditetapkan, iaitu RM1,700 sebulan, tanpa mengira sama ada dibayar melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.
Ujarnya, majikan yang gagal mematuhi peruntukan PGM 2024 boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 Akta 732, termasuk denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja untuk kesalahan pertama.
Bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. Bagi kesalahan berulang, penalti boleh dikenakan ialah denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” jelasnya.
Kesuma juga memaklumkan bahawa JTK akan mempertingkat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan atau kesalahan yang melibatkan pemotongan gaji secara tidak sah dan bertentangan dengan PGM.
Ujar kenyataan itu lagi, PGM 2024 turut terpakai kepada pekerja sambilan.
Perenggan 3(2) dan 5(2) PGM 2024 menetapkan bahawa bagi pekerja yang tidak menerima gaji pokok tetapi dibayar berdasarkan upah mengikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar bulanan yang perlu dibayar kepada pekerja tersebut tidak boleh kurang daripada kadar gaji minimum bulanan semasa,” katanya. – Sinar Harian