Input your search keywords and press Enter.

Hakim Besar Malaya Jalankan Tugas Ketua Hakim Negara

M Update, 03/07/2025 – Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Khamis, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

Menurutnya, pelaksanaan tugas itu turut merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tersebut diisi.

“Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau dilantik pada 12 November 2024, menurut Astro Awani. Jawatan ini merupakan jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman di Malaya.

Hasnah dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 12 November tahun lalu.

Sebelum ini jawatan Ketua Hakim Negara disandang oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat selama enam tahun sebelum bersara wajib pada Rabu.

Pelantikan Tengku Maimun pada 2 Mei 2019 mencipta sejarah apabila beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan itu dalam sejarah Malaysia.

Terdahulu, Majlis Peguam menyuarakan kebimbangan dengan kekosongan jawatan yang ditinggalkan Tengku Maimun.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata, kekosongan itu menunjukkan ketiadaan pelan peralihan kepimpinan yang jelas dan tepat pada masanya sekali gus mencerminkan kegagalan institusi dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.