
M Update, 17/10/2025 – Seorang murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Jalan Tap, Klang, meninggal dunia awal pagi Khamis dipercayai akibat jangkitan Influenza A.
Mangsa, Muhammad Syeikhu Azrin, 8 tahun, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Hasil siasatan mendapati mangsa disahkan dijangkiti Influenza A, manakala seluruh ahli keluarganya turut positif wabak sama.
Pihak kesihatan telah mengambil langkah pencegahan termasuk pemeriksaan terhadap ahli keluarga serta pemantauan bagi mengawal penularan jangkitan di kawasan berkenaan.
Terdahulu media melaporkan dua kes kematian dikaitkan dengan influenza membabitkan kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat dan 11 tahun direkodkan setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu tinggal di Sabah, manakala mangsa yang berusia 11 tahun di Terengganu.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan masih menjalankan kajian dan penelitian bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kedua-dua kanak-kanak tersebut.