
M Update, 28/01/2026 – Seruan di media sosial yang mengajak umat Islam memboikot pembayaran zakat dan pelaksanaan wakaf di Selangor susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, semua tindakan berkaitan isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sedang ditangani mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau menegaskan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertanggungjawab mengurus kutipan serta agihan zakat kepada lapan golongan asnaf, manakala Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengurus dan membangunkan harta wakaf demi kepentingan umat Islam.
Menurutnya, seruan boikot tersebut boleh menjejaskan hak asnaf dan menghalang usaha pembangunan harta wakaf di Selangor. MAIS turut memaklumkan pihaknya sentiasa memantau sebarang pencerobohan melibatkan tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di negeri ini.
MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di negeri ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi, tuduhan, fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan, sebaliknya mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan.