
M Update, 24/02/2026 – Permohonan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi akan didengar di Mahkamah Tinggi hari ini.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, permohonan itu dijadual didengar di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor pada jam 9 pagi, perkara yang turut disahkan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Terdahulu, pihak pembelaan memfailkan permohonan pembebasan penuh susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Januari lalu yang memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap semua 47 pertuduhan selepas meneliti bahan serta keterangan baharu.
Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan mengklasifikasikan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dibuat selepas pihak pendakwaan meneliti enam representasi yang dikemukakan beliau.
Beliau berkata keputusan itu bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang kes berkenaan.
Terdahulu, pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memohon untuk memberhentikan prosiding.