Input your search keywords and press Enter.

Keputusan SPM 2025 Diumum 31 Mac Ini

Foto Hiasan

M Update, 09/03/2026 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac 2026.

Seramai 413,299 calon telah berdaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025 yang berlangsung di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Bagi calon sekolah, keputusan peperiksaan boleh diperoleh di sekolah masing-masing bermula jam 10.00 pagi pada tarikh tersebut.

Sementara itu, calon persendirian boleh mendapatkan keputusan dengan menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tempat mereka mendaftar untuk mengambil peperiksaan berkenaan.

Pihak sekolah juga diminta memastikan proses penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan dengan teratur, lancar dan berkesan.

Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian boleh menyemak keputusan melalui kaedah berikut:

1. Secara dalam talian
Semakan boleh dibuat melalui laman web myresultspm.moe.gov.my bagi mendapatkan slip keputusan SPM 2025 bermula 31 Mac 2026 (Selasa), jam 10.00 pagi hingga 6 April 2026 (Isnin), jam 6.00 petang.

2. Melalui sistem pesanan ringkas (SMS)
Calon boleh menaip:
SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran
dan hantar ke 15888 untuk mendapatkan ringkasan keputusan.
Perkhidmatan ini juga akan diaktifkan dari 31 Mac 2026 (10.00 pagi) hingga 6 April 2026 (6.00 petang).

KPM turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua calon SPM Tahun 2025 serta berharap kejayaan yang dicapai dapat menjadi dorongan untuk terus mencipta kecemerlangan pada masa hadapan.