Input your search keywords and press Enter.

ToU Semakin Popular, Ini Cara Bijak Kurangkan Bil Elektrik

Foto Hiasan

M Update, 10/04/2026 – Kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada skim Time of Use (ToU) sebagai langkah menjimatkan bil elektrik serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan seramai 128,868 pengguna telah beralih kepada skim tersebut sehingga Februari lalu, menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap penggunaan tenaga secara lebih efisien.

Menurut PETRA, skim ToU menawarkan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus memberi peluang kepada pengguna menjimatkan kos melalui perubahan corak penggunaan harian.

Waktu puncak biasanya antara 2 petang hingga 10 malam pada hari bekerja, manakala waktu luar puncak meliputi malam hingga pagi, hujung minggu dan cuti umum dengan kadar lebih rendah.

“Perbezaan tarif ini memberi insentif kepada pengguna untuk merancang penggunaan elektrik dengan lebih bijak,” menurut kenyataan itu.

PETRA turut menyarankan pengguna mengalihkan penggunaan peralatan berintensiti tinggi seperti penyaman udara, mesin basuh, pemanas air dan pengecas kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan.