Input your search keywords and press Enter.

Penggunaan Kalimah Allah Hanya Terpakai Di Sarawak – PM

M Update, 16/05/2023 – Ahad lalu, media melaporkan KDN dan kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri-negeri lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar turut menegaskan sambil mengulangi pendirian kerajaan kekal komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi Raja, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak, kita faham dulu tak terikat dengan keputusan negeri-negeri, ia tak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, tak boleh.

“Ini (penggunaan kalimah Allah) khusus untuk Sarawak yang kita dah kalah dalam kes awal kerana di Sarawak, memang diputuskan oleh negeri sebegitu rupa, kita kena faham,” katanya.

Penjelasan mengenai perkara ini juga sudah diperjelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang medianya hari ini.