M Update, 6/3/2020 – Semua pegawai dan anggota Kapal Tentera Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekiu yang melakukan pelayaran mengiringi Petronas Floating Liquefied Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Busan, Korea ke Perairan Sabah didapati negatif Covid-19.
TLDM dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini, memaklumkan perkara itu disahkan menerusi saringan pertama yang dijalankan pada 5 Mac lalu.
“Tiada warga kapal yang dikesan mengalami simptom Covid-19 dan mereka dalam keadaan sihat. “KD Lekiu dijangka meneruskan pelayaran pulang ke Tambatan Pangkalan Lumut (TPL), Perak, hari ini, dan dijangka tiba pada 9 Mac nanti,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan TLDM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga sebaik kapal tiba di TPL dengan melakukan saringan kedua sebagai langkah berjaga-jaga dan mengesahkan semua warga kapal bebas dari virus berkenaan.
“Sehubungan itu, semua warga akan dikuarantin di kapal sehingga keputusan saringan kedua diperoleh dan dimuktamadkan oleh Bahagian Kesihatan.
TLDM akan memastikan semua langkah keselamatan diambil mengikut garis panduan diberikan. Pada masa sama, TLDM juga akan memastikan semua prosedur dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan mereka berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing dengan segera. – HM Online