Seperti kita tahu, negara kerugian RM2.4 bilion sehari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam menyatakan kerajaan akan memulakan ‘roll-out’ pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 KKebangsaan. Sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat.
Program vaksinasi COVID-19 membabitkan tiga fasa dengan yang pertama dijangka bermula hujung bulan ini. Perkhabaran mengenai program vaksinasi tidak seharusnya dijadikan batu loncatan untuk mengabaikan peraturan dan norma baharu ditetapkan.
Seperti dimaklumkan vaksin bakal diperoleh hanya akan menyasarkan 70 hingga 80 peratus keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok dan ia untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.
Imuniti kelompok adalah suatu keadaan di mana sebuah jangkitan tidak dapat memasuki atau menyebar dalam kalangan satu kelompok masyarakat apabila sebahagian besar diimunisasi dan terlindung daripada jangkitan.
Masyarakat harus sedar vaksin tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal. Antara matlamat imunisasi COVID-19 adalah melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.
Pakar Virologi daripada Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, menyatakan risiko mendapat jangkitan wabak berkenaan tetap ada walaupun seseorang itu sudah pun disuntik dengan vaksin. Realitinya, walaupun vaksin diperoleh, virus akan terus kekal dalam masyarakat untuk satu tempoh tertentu hinggalah imuniti kelompok diperoleh.
Orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan memandangkan proses vaksinisasi dan kadar untuk mencapai imuniti kelompok mengambil masa.
Oleh itu, cara hidup kita berubah dan walaupun vaksin ada dalam tangan sekalipun, gaya hidup tidak boleh kembali seperti dahulu. Apa pun, perkara penting perlu diketahui dan diterima masyarakat adalah corak kehidupan ketika ini dan pasca tempoh itu akan berubah.
Mohammad Farhan Shalahhudin
ADUN Belia Terengganu