M Update, 15/04/2021 – Tindakan orang ramai membawa ahli keluarga termasuk kanak-kanak ke bazar Ramadan menyebabkan berlaku pertambahan pengunjung yang ramai sekali gus menyukarkan penjarakan fizikal.
Ada yang membawa ahli keluarga termasuk bayi dan kanak-kanak kecil untuk membeli juadah seolah-olah menganggap tiada apa yang berlaku.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, pihaknya menasihatkan pengunjung supaya tidak lagi membawa keluarga untuk membeli juadah di situ kerana ia boleh mengundang risiko penularan Covid-19. Pihaknya juga tidak menggalakkan jumlah pengunjung yang ramai datang ke bazar Ramadan bagi mengelakkan kesesakan setiap hari.
“Yang nak beli juadah tu cuma seorang. Kalau boleh kami tak galakkan bawa keluarga terutama kanak-kanak dan warga emas kerana mereka lebih mudah dijangkiti. Kami juga lebih mengutamakan orang ramai mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. Kalau tak pakai, kita tak benarkan masuk ke kawasan bazar,” katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan di bazar Ramadan.
Pihak MBAS menempatkan 65 anggota penguatkuasa MBAS untuk memantau kesemua lokasi terbabit sepanjang Ramadan ini untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP, pemeriksaan lesen dan pemeriksaan kebersihan dan sebagainya. Sekiranya ada yang gagal mematuhi SOP berkenaan, kompaun RM10,000 akan dikeluarkan.