Input your search keywords and press Enter.

Bangsa Melayu Bangsa Pemalas!

Oleh Haziqah Qistina Binti Mohamad Anwar

“Melayu malas!” bukanlah sesuatu yang asing lagi didengari oleh rakyat Malaysia. Apabila sesuatu perkara berlaku yang mungkin tidak enak dialami, dimana kebetulan sesuatu bangsa itu yang sedang memberikan servis tertentu ataupun asbab seseorang yang berbangsa Melayu itu mengeluh akan status ekonominya, acap kali kita dengar perkataan ini dituturkan terhadap ras yang sudah lama mendiami bumi Malaysia ini.  

 Pernahkah terdetik di minda dan hati kita untuk bertanya, dari manakah asal usulnya penggunaan perkataan Melayu malas ini? Dan mengapakah ia sangat lantang diperkatakan oleh bangsa itu sendiri? Perkataan ini berasal dari buku catatan harian dari pemerhatian salah seorang pentadbir kolonial British di Tanah Melayu yang berjudul Malay Sketches. Di dalam buku ini, Swettenham telah melabelkan orang – orang melayu sebagai bangsa yang malas. Ironinya, sebagai bangsa melayu itu sendiri, yang sedemikian hari menetap di tanahnya sendiri, bercangkul, menternak, mengait, menanam, menjerat ikan, bersawah dari awal pagi ke lewat petang, bagi mencari punca rezeki untuk meneruskan kehidupan, menerima bulat – bulat apa yang diperkatakan oleh pentadbir kolonial ini. Mungkin ada kebenaran dari apa yang ditulis oleh Swettenham, namun, orang Melayu, juga merupakan orang laut, adalah bangsa yang mendominasi lautan Pasifik dan lautan Hindi sebelum kedatangan penjajah, justeru itu, hal ini membuka ruang persoalan, apakah ada udang disebalik batu atas dakwaan ini?

 Selepas Swettenham, Syed Hussein Al-Attas, seorang ilmuwan, ahli sosiologi, politik dan akademik membuat kajian atas dakwaan Swettenham terhadap bangsa ini. Apa yang dijumpai adalah, penulisan ini berat sebelah tanpa mengira unsur adat resam, perbezaan budaya dan mempunyai kompleks eksploitasi. Pada zaman ini, British sedang memperoleh kuasa rata – rata di dunia dari aktiviti penjajahan mereka dan ini membentuk peribadi “supremacy”  ataupun sifat ketuanan. Sebagai supremis, mereka akan menolak atau memerangi mana – mana pihak yang enggan akur dengan apa yang diminta, dan bagi yang berlaku sedemikian, mereka akan dianggap sebagai orang yang tidak terkawal ataupun pemalas.  

 Berdekad lamanya perkataan ini ditutur dan digunakan, sampai satu tahap ia menjadi kepercayaan masyarakat itu sendiri. Namun, bagaimanakah ini berlaku? Di dalam pengajian peperangan dunia ataupun tempatan, propaganda adalah antara taktik yang kerap digunakan bagi menarik perhatian dan menukar pandangan individu dan masyarakat terhadap sesuatu hal, agar dapat menerima perspektif yang dicatur, kemungkinan propaganda ‘Name Calling’ telah digunakan terhadap bangsa ini. ‘Name calling’ adalah salah satu cabang propaganda dimana seseorang atau sesuatu bangsa akan dipanggil dengan sesuatu konotasi negatif tertentu, sehingga ia menjadi norma. Selain itu, isu ini juga membabitkan isu perkauman yang tidak disedari oleh kaum itu sendiri.

 Perihal isu rasisme ini sangatlah luas, dan orang Malaysia sangatlah lantang untuk menegakkan keadilan bagi mereka yang diperlakukan sedemikian. Budaya rasisme ini sangat terang dilihat jika diperlakukan ke atas bangsa selain dari bangsa individu itu sendiri, namun, ia menjadi kebiasaan untuk mengherdik bangsa masing – masing, kerana kita berasa ada sifat ketuanan terhadap kaum sendiri.  

Ia merupakan satu sifat keterbanggungjawaban untuk sesuatu bangsa itu untuk perbetulkan kesalahannya sendiri. Bagus jika frasa melayu malas ini bertujuan untuk membina, namun, ia menjadi rasis apabila tujuan penggunaannya adalah untuk mengherdik atas sebabsebab seperti ketidakpuasan hati terhadap individu yang lain, yang dimana seseorang itu langsung melakukan generalisasi secara kolektif.

 “Internalize racism” ataupun rasisme dalaman merupakan kepercayaan bangsa ditindas, atau kelompok etnik untuk menerima apa sahaja konotasi negatif, dan prejudis tentang kebolehan, juga nilai kaum yang diberikan kepada mereka tanpa mempersoalkannya. Rasisme dalaman terdiri dari sikap sembunyi atau pengecualian diri, benci diri, inferioriti dan menerima sesuatu konsep negatif yang diberi dengan membabi buta akibat rasa lemah dan rendah diri yang terlampau.

Penggunaan perkataan ini mungkin tiada impaknya jikalau digunakan sekali dua, namun, setelah berdekad lamanya dituturkan dari bibir ke bibir, frasa ini di kemudian hari dengan sendirinya akan meresap dan menjadi salah satu identiti bangsa tersebut, dengan syarat bangsa itu harus pertama-tamanya, mempercayai dakwaan yang diberi.

Frasa Melayu Malas ini mungkin kelihatan seperti perkara yang remeh jika dilihat dari sudut permukaan dan tidak mempunyai impak yang berat. Sebaliknya, jika dituturkan berkurun lamanya, ia akan memberi kesan terhadap peradaban sesuatu bangsa, dan kesan ini akan menjadi sukar dibendung jikalau amalan mengherdik bangsa sendiri, ataupun rasisme dalaman ini tidak dicegah bersama. Caranya tidaklah sukar sehingga perlunya berpidato, memberi ceramah disana sini; cukuplah dari peringkat individu, dengan menerapkan nilai membina terhadap bangsa masing – masing apabila sesuatu berlaku, tanpa perlu menuturkan dakwaan yang telah dilontarkan terhadap bangsa sendiri oleh bangsa penjajah. Asal – usul Melayu, bukanlah bangsa yang malas, namun kita diberi kepercayaan yang sebaliknya. Dek kerana pemikiran yang diterapkan setelah bertahun lamanya ini, terhakislah identiti dan kepercayaan terhadap leluhur dan masyarakat sendiri.

Tamat

Penulis adalah penuntut semester akhir Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan

Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update